* Artikel diambil dari Utusan Malaysia Online
Rata-rata keganasan yang berlaku ke atas wanita adalah disebabkan oleh salah anggap hak lelaki terhadap isteri dan anak-anak. Mereka beranggapan apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak, golongan ini adalah miliknya 100 peratus.
Sedangkan suami dan bapa itu hanyalah sebagai pemegang amanah untuk menjaga dan memelihara dengan sebaik mungkin isteri dan anak. Ini kerana mereka saling lengkap-melengkapi dalam membina kehidupan sekeluarga.
Apabila konsep itu disalah anggap, maka lelaki menggunakan kuasa dan cuba mengawal atau mendominasikan pasangan dengan cara mengongkong, mencedera serta menganiayai wanita dan kanak-kanak dalam pelbagai cara.
Perunding Prinsipal K&A Applied Psychology Consultancy, Khairol Anuar Masuan berkata, keganasan ke atas wanita dan kanak-kanak kesemuanya berpunca daripada lelaki.
Lelaki gagal dalam tanggungjawabnya sebagai pelindung dan penyubur cinta dan sayang antara pasangan dan keluarga.
"Mereka masih menganggap wanita adalah miliknya yang boleh diperlakukan sesuka hatinya apabila telah berkahwin. Ini sebenarnya tidak benar. Apabila berkahwin, si suami mempunyai tanggungjawab untuk menjaga si isteri dengan sebaik mungkin tanpa mencederakannya.
Mesti berani bertindak
"Dalam membincangkan mengenai keganasan rumah tangga, ia bukan hanya berlaku dalam budaya kita, tetapi merata dunia dan pelbagai budaya, cuma yang menjadi masalah ialah sama ada diketahui iaitu dilaporkan atau sebaliknya.
"Ini kerana mangsa keganasan menganggap penderaan oleh pasangan masing- masing sebagai masalah peribadi dan patut diselesaikan dalam keluarga sendiri.
"Ditambah pula pandangan dan nasihat pihak luaran seperti jiran, pihak berkuasa dan ketua kampung yang menyatakan bahawa keganasan itu adalah disebabkan oleh kegagalan kemahiran isteri dalam menguruskan rumahtangga sedangkan ia boleh disabitkan kesalahan mengikut Akta Keganasan Rumahtangga 1994.
"Inilah yang berlaku sekarang mengapa banyak kes tidak dilaporkan kerana wanita tidak terdedah kepada haknya di sisi undang-undang.
"Wanita harus sedar, keganasan rumah tangga tidak sepatutnya berlaku dan mereka mesti berani bertindak dengan melaporkan kepada pihak berkuasa,'' katanya ketika ditemui di Batang Kali, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Khairol, terdapat dua faktor yang menyebabkan wanita tidak melaporkan kepada pihak berkuasa walaupun tahu haknya dalam perundangan.
Pertama, keadaan mengalah pasrah di mana isteri diugut sekiranya melaporkan kes penderaan pada dirinya sehingga mengalami tekanan dan kemurungan yang mendalam.
Dalam kes ini mangsa berasa ketakutan dan tidak mampu berbuat apa- apa, hidup dalam perhubungan yang menyeksakan, bahkan mangsa akan merasa kaku akibat perasaan takut akan berlaku lagi keganasan.
Ditambah pula survival ekonomi yang bergantung kepada suami, boleh atau tidak terpaksa mengharunginya.
Kedua, budaya dalam kebanyakan masyarakat Asia bahawa isteri mesti mentaati suami serta sikap terlalu menyayangi suami, tidak memungkinkan mereka melaporkan keganasan tersebut.
Sedangkan dalam agama Islam khususnya, membenarkan isteri memfailkan permohonan tuntutan cerai taklik dan fasakh terhadap suaminya. Sekiranya suami lazim menyakiti isterinya menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya, isteri tersebut boleh mendapatkan perintah pembubaran perkahwinan di mahkamah.
"Kini penderaan bukan sahaja sekadar merangkumi penderaan dari segi fizikal seperti memukul, menampar atau membaling sesuatu dengan niat mencederakan tetapi juga dari segi emosi, seksual dan ekonomi.
"Malah, yang terbaru ialah keganasan digital iaitu pencerobohan ruang peribadi membabitkan penyebaran gambar dan video lucah menerusi telefon bimbit.
"Kini, ramai pasangan yang membuat rakaman perlakuan seksual bagi tujuan kononnya untuk kenang-kenangan dan pengikat cinta, namun sebaliknya mempunyai niat buruk dalam mempertahankan atau menganiaya hubungan dengan pasangan.
"Apabila berlaku konflik atau keganasan dalam hubungan, maka rakaman ini menjadi senjata bagi memastikan keganasan tidak diketahui atau dilaporkan. Jika dilaporkan, rakaman itu akan didedahkan kepada umum dan mangsanya ialah wanita.
"Situasi ini adalah sama seperti yang berlaku dalam keganasan bersifat fizikal, jika melaporkan yang malu ialah wanita, begitu juga keganasan digital, situasinya sama,'' jelas Khairol sempena Hari Wanita Antarabangsa 2009 yang disambut semalam.
Kata bekas pensyarah psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, tema Hari Wanita Antarabangsa 2009 iaitu Wanita dan Lelaki Bersama Menentang Keganasan Keatas Wanita dan Kanak-kanak adalah bertepatan dengan situasi sekarang di mana peningkatan kes-kes keganasan rumah tangga dan kanak-kanak bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia.
Gabungan lelaki dan wanita bagi menentang keganasan ini pasti memberi impak yang terbaik ditambah pula dengan sokongan daripada media, pengendali perkahwinan, kaunselor, guru-guru bagi memberi kesedaran dua golongan ini juga adalah manusia biasa yang memerlukan kasih sayang dan bukannya mangsa kepada penderaan akibat panas baran atau cemburu buta lelaki.
Menurut Khairol, selalunya lelaki yang memukul, mendera atau melakukan keganasan ini mempunyai sifat yang romantik, terlalu penyayang, yang suka memujuk, sentiasa mengingati hari-hari yang penting, cemburu dan mengongkong pergerakan wanita.
Bersifat bermuka-muka
"Selalunya wanita menyukai lelaki sebegini semasa bercinta. Namun apabila telah berkahwin dan dia beranggapan pasangannya haknya, maka perwatakan itu akan berubah serta merta.
"Golongan ini akan menggunakan kelemahan wanita yang senang dipujuk, dirayu dan dibeli dengan pemberian serta bersifat bermuka-muka dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya lagi.
"Sedangkan ia akan berulang lagi kerana dalam fikiran, mereka mempunyai hak untuk bertindak demikian atau berfikir bahawa perasaan mereka lebih utama daripada wanita.
"Jika dilihat dalam personaliti dengan rakan-rakannya di luar, ciri-ciri keganasan pada seseorang lelaki itu tidak nampak, mereka cool, mesra dan menampilkan seorang lelaki yang mempunyai wawasan dan bertanggungjawab.
"Namun wanita perlu berhati-hati dengan lelaki sebegini kerana mereka sebenarnya mempunyai dua perwatakan yang berbeza,'' katanya.
Selain itu, kata Khairol, dalam keganasan rumah tangga, anak-anak turut menerima kesan kepada apa dilakukan oleh bapa mereka.
"Melihatkan perlakuan yang dilakukan oleh bapa ke atas ibu mereka, anak-anak ini turut menjadi mangsa. Jika tidak didera secara fizikal, jiwa mereka mengalami pergolakan tekanan.
"Anak-anak akan lebih mudah menjadi sugul atau berasa kurang berupaya, menyisihkan diri atau menjadi agresif seperti membuli kanak-kanak lain serta mengalami kepayahan untuk mempercayai orang lain.
"Apabila dewasa kelak, kanak-kanak ini turut akan menjadi pemukul atau pendera seperti yang dilakukan oleh bapanya.
"Inilah yang ditakuti oleh kita semua, budaya ini akan diwarisi selama-lamanya dan masalah keganasan ini semakin sukar dibendung,'' katanya.
Pemilik syarikat perunding dan motivasi ini memberitahu, terdapat tiga keganasan terhadap kanak-kanak iaitu fizikal, mental dan seksual.
Kesannya amat menyedihkan sekiranya si ibu tidak dapat membantu dalam keganasan ini kerana mengalah pasrah.
Ibu takutkan suaminya yang akan turut membuat perkara yang sama ke atas dirinya juga atau ugutan yang boleh mencederakan dirinya.
Justeru penderaan ini akan berlanjutan sehinggalah ketakutan itu dapat ditepis dan laporan dibuat.
"Kes penderaan ke atas kanak-kanak adalah sama seperti mendera isteri kerana kedua-duanya tanggungjawab suami dan bukan miliknya,'' ujarnya.
09 March 2009
Wanita bukan milik lelaki
Posted by b.e.l.l.e at 1:40 PM
01 March 2009
Wanita! pastikan arah perjuanganmu
* artikel diambil dari utusan malaysia online
Saya ingin jelaskan, sesiapa yang mengikuti pandangan saya akan tahu sejak dahulu betapa saya mempertahankan hak-hak wanita khususnya di Malaysia. Kita hendaklah jelas bahawa yang patut dikritik bukan hukum-hakam Islam, tetapi kerenah pengurusan atau birokrasi mereka yang diamanahkan menguruskan urusan orang Islam, terutama mahkamah yang dinamakan syariah yang menyusahkan wanita, menangguhkan kes-kes talak bertahun lamanya, yang sempit dalam pemikiran hukum, menyusahkan urusan perkahwinan yang halal dan lain-lain kerenah sehingga yang halal begitu sukar dicapai dibandingkan yang haram. Salah urus perkara-perkara ini yang menzalimi hak umat Islam yang berkaitan urusan rumahtangga; lelaki dan wanita. Sehingga Islam menjadi kabur dan wanita menjadi prejudis dengan hukum-hakam syarak. Betapa ramai kaum wanita yang menghantar emel dan surat kepada saya menceritakan kekecewaan mereka terhadap pengurusan yang bernama syariah. Mereka sebahagiannya termasuklah yang baru menganut Islam. Pun begitu, kita lihat di Malaysia, ada jawatan-jawatan baru yang kurang perlu diwujudkan demi memberi tempat kepada 'orang agama' yang pencen. Ini berlaku, termasuk di badan-badan keagamaan yang penting termasuk kehakiman. Apabila agama dijadikan bagai urusan bisnes untuk kroni dan puak, maka hak orang awam terbengkalai. Sebab itu, saya kira patut dipuji Tun Mahathir di sudut beliau tidak mewujudkan jawatan besar untuknya apabila pencen.
Wanita! jika hendak berjuang, perjuanglah menghapuskan kerenah seperti ini, juga kesempitan fahaman mazhab atau fikah berkaitan wanita yang dipegang oleh kelompok agama ortodoks serta konservatif sehingga dipinggirkan hak wanita tanpa dalil. Ertinya, wanita hendaklah jelas apa yang patut perjuangkan. Saya telah sentuh hal ini banyak, sebahagiannya dalam buku saya 'Mengemudi Bahtera Perubahan Minda'. Jangan pertikaikan atau ubah hukum-hakam syarak yang tetap. Syariat Allah sentiasa adil lagi saksama. Jangan salah tafsirkan nas-nas al-Quran atau sunnah hanya kerana hendak memenuhi perjuangan yang kabur, atau tuntutan yang tersilap. Perjuangkan kerahmatan dan keluasan Islam yang Nabi saw peruntukkan untuk wanita. Dalam artikel-artikel lepas, saya telah sebut hadis yang menggambarkan betapa baginda memerdekakan wanita dari kongkongan. Wanita diberi peluang untuk merungkaikan rumah tangga jika mereka rasa ia amat sengsara. Sehingga apabila isteri Thabit bin Qais datang dan berkata: Wahai RasululLah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka RasullulLah SAW bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: "Ya". Lalu Rasulullah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia (Riwayat al-Bukhari). Demikian dalam riwayat al-Bukhari daripada 'Abdullah bin 'Abbas, katanya: Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga air matanya mengalir atas janggutnya. Nabi saw berkata kepada 'Abbas: "Wahai 'Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith?". Lalu Nabi SAW berkata (kepada Barirah): "Tidak mahukah jika engkau kembali kepadanya". Barirah berkata: "Apakah engkau memerintahkanku?". Nabi SAW bersabda: "Aku hanya mencadangkan". Kata Barirah: "Aku tidak memerlukan dia". Dalam riwayat Abu Daud, disebut nasihat Nabi SAW kepada Barirah yang lebih jelas, di mana baginda bersabda: "Wahai Barirah, bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya dia suamimu dan ayah anakmu". Kata Barirah: "Apakah engkau memerintahkanku agar demikian?". Nabi saw bersabda: "Aku hanya mencadangkan". Dalam riwayat ini menunjukkan bahawa Nabi SAW tidak memaksa Barirah kembali kepada suaminya yang masih lagi berstatus 'hamba sahaya' sedangkan dia sudah mendapat taraf 'merdeka'. Walaupun Nabi SAW sendiri bersimpati kepada Mughith sehingga mencadangkan Barirah menerima kembali sebagai suaminya, namun apabila Barirah menolak cadangan Nabi saw, baginda tidak memurkainya. Inilah keluasan rahmat yang Nabi SAW telah tunjukkan buat kaum wanita. Para ulama berbeza pendapat apakah ruang untuk kekal bersama suami itu hanya diberikan untuk wanita yang dimerdekakan sedangkan suaminya masih hamba, atau merangkumi setiap wanita yang mendapati suaminya sudah hilang kelayakan. Apa yang penting, Nabi SAW bukan seperti 'pihak kaunseling sesetengah jabatan agama yang menyatakan "baliklah jangan menuntut talak, nanti tergugat Arasy Tuhanmu". Padahal mereka yang malas membuka kes baru. Masalah wanita pada mereka ini, bukan pada ajaran Nabi SAW; termasuklah bukan masalah itu pada poligami. Kata al-Imam 'Izz al-Din 'Abd al-Salam (meninggal 660H): dalam Qawa'id al-Ahkam fi Masalih al-Anam: Kita telah ketahui daripada sumber-sumber syarak bahawa tujuan (hukum-hakam) syarak ialah untuk kemaslahatan hamba-hambaNya di sudut agama dan akhirat mereka. Bukannya masaqqah (kesusahan dalam mengamalkan syariat) itu yang dimaksudkan dengan kemaslahatan, tetapi maksudnya ialah apa yang diperolehi hasil dari masaqqah tersebut. Ini sama seperti seseorang doktor yang menyuruh pesakitnya meminum ubat yang sangat pahit. Tujuannya hanyalah untuk mengubati. (1/29, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).
Contohnya, semasa Perang Dunia Kedua (1939-45) hampir 60 juta manusia mati, kebanyakan mereka lelaki. Semasa peperangan Iran-Iraq, 82,000 wanita Iran dan 100,000 wanita Iraq menjadi janda. Dan dunia terus berperang. Maka, peratusan wanita dan lelaki dalam dunia juga tidak seimbang di atas berbagai faktor. Kaum wanita lebih ramai daripada lelaki. Ditambah lagi sebahagian lelaki yang ada, terlibat dengan jenayah. Begitu juga yang meninggal kerana tugasan harian. Jika bukan poligami itu satu penyelesaian, apakah kita ingin menyuruh jutaan wanita mengurung 'naluri kewanitaannya? Atau apakah kita ingin beritahu mereka; lebih baik bersuamikan lelaki penagih daripada seorang yang telah berstatus suami?. Katanya Dr. Yusuf al-Qaradawi: "Inilah apa yang diraikan oleh Syariat Islam dalam persoalan poligami, ia telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudiannya ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah. Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30: (maksudnya): Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri. (m.s 133-134).
Saya lihat, ada orang bukan Islam di Malaysia turut menyelar poligami kononnya tidak adil kepada wanita. Apakah dia lupa bahwa agama yang dianutinya itu sebenarnya menyuruh wanita yang menjadi janda dibakar bersama mayat suami. Ia dinamakan 'Sati'. Itulah penyelesaian yang agamanya cadangkan untuk menyelamatkan janda dari keseorangan. Terima kasihlah dia kepada Inggeris yang menentang amalan sejak sekian lama di India. Sebenarnya, Islam di India telah lama menentang tradisi tersebut. Tudinglah jari ke warisan kononya itu, sebelum memperkatakan poligami.
Saya ingin beritahu para pejuang hak wanita, bahawa saya bersama anda dan perjuangan hak wanita, tetapi kita kena pastikan dahulu arah perjuangan itu!
Posted by b.e.l.l.e at 12:56 PM
16 February 2009
Musawah bela nasib wanita Islam
*Artikel diambil drpd Berita Harian Online
Usaha mendapat kesaksamaan hak terus diperjuang
TIADA siapa dapat menafikan bahawa wanita Islam di beberapa negara masih lagi ditindas, didiskrimnasi dan sering menjadi mangsa kepada ketidakadilan dalam banyak perkara, selain tidak mendapat hak yang sama seperti lelaki.
Berikutan itu, sejak beberapa dekad lalu, wanita Islam di seluruh dunia berusaha keras untuk memperjuangkan pembaharuan dari segi undang-undang bagi mengiktiraf hak kesaksamaan dan keadilan antara lelaki dan wanita, selain berusaha melindungi peruntukan undang-undang sedia ada yang memberi hak tertentu terhadap golongan wanita.
Pengarah Projek Pergerakan Global Bagi Kesamaan dan Keadilan Dalam Keluarga Islam (Musawah), Zainah Anwar mengakui tindakan mengubah undang-undang bukan sesuatu yang mudah dilakukan, malah tentangan pasti datang bagi menggagalkan usaha itu termasuk daripada pihak berkaitan khususnya pemimpin agama.
Susulan itu, persidangan Musawah yang diadakan selama empat hari di Kuala Lumpur dan dihadiri 250 peserta daripada 47 negara, menjadi medium terbaik untuk membincangkan jalan terbaik bagi menyuarakan kepada dunia dan pemimpin bahawa diskriminasi tidak boleh dilakukan lagi terhadap wanita dengan menyalahgunakan agama.
“Biasanya, apabila wanita Islam mahu menuntut keadilan atau inginkan perubahan undang-undang, mereka akan dimaklumkan bahawa ini semua adalah undang-undang Tuhan yang tidak boleh ditukar atau dibincangkan langsung. Wanita yang mempersoalkan, mencabar atau mahukan perubahan kerana ketidakadilan itu akan dilihat sebagai individu yang menentang syariah atau lemah iman.
“Paling tidak pun, wanita itu akan dikatakan bersikap anti-Islam, kebaratan atau akidahnya jauh menyimpang, malah laporan akan dibuat kepada polis atau pertubuhan agama supaya kita ditangkap dan pertubuhan kita diharamkan kerana dikatakan menghina Islam,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Musawah di Kuala Lumpur, kelmarin.
Turut hadir, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Keganasan Terhadap Wanita, Prof Yakin Ertuk dan Pengerusi Suruhanjaya Kebangsaan Indonesia Mengenai Keganasan Terhadap Wanita, Kamala Chandrakirana.
Antara isu yang diperjuangkan aktivis wanita ialah gadis yang dipaksa berkahwin pada usia terlalu muda khususnya awal belasan tahun, adat berkhatan di kalangan bayi perempuan yang lazimnya menyebabkan kecederaan parah dan ada kalanya, kematian dan juga keganasan rumah tangga.
Bagaimanapun, Zainah berkata, halangan pihak tertentu tidak akan menghalang kumpulan aktivis untuk terus berusaha membawa perubahan dalam usaha memberi keadilan kepada wanita Islam walaupun usaha itu mungkin menempuh laluan sukar dan menjadi bahan kritikan.
“Kita tahu bahawa Islam memberi keadilan kepada semua dan kita ingin nyatakan, tidak ada keadilan dalam dunia ini jika tidak ada kesaksamaan. Walaupun kita mempunyai latar belakang dan budaya yang berbeza, matlamat kita adalah sama, malah kita perlu mengetahui apa yang dibolehkan dalam Islam dan apa yang sebenarnya dilarang.
“Malangnya, apa yang berlaku sekarang ialah, mereka menterjemahkan undang-undang, bagaimana menjadi wanita, isteri dan anak perempuan yang baik dengan cara yang berat sebelah dan kemudian merangka undang-undang serta dasar yang akhirnya menjadikan wanita sebagai muslim serta rakyat kelas kedua.
“Apabila kita memprotes, mereka meminta kita diam kerana bagi mereka, kita tidak berhak untuk menyuarakan pandangan, tetapi adakah ini sesuatu yang adil,” katanya.
Zainah berkata, jika keadilan dan kesaksamaan yang dituntut itu diperoleh, wanita Islam tidak akan hidup sengsara akibat diskriminasi yang berlaku sekarang.
“Kita hairan, kenapa tidak ada pihak mempersoalkan kelulusan jika kita mahu bercakap hal berkaitan ekonomi atau politik, tetapi jika kita bercakap berkenaan undang-undang Islam, keadaan menjadi sebaliknya.
“Ini bermakna, isunya bukan disebabkan kelulusan yang membolehkan kita bercakap mengenai Islam, tetapi lebih kepada impaknya kerana mungkin permintaan kita itu akan menyebabkan hidup mereka sudah tidak selesa selepas lama diberikan keistimewaan,” katanya.
Zainah berkata, penganjuran Musawaf tepat pada masanya kerana rangkaian wanita Islam antarabangsa perlu diwujudkan untuk memperjuangkan usaha supaya perubahan undang-undang dapat dilakukan.
“Sebab itu, Sister In Islam mengusulkan idea ini dan menjemput aktivis bekerjasama membincangkan perkara itu supaya ianya dapat dilakukan di negara mereka. Kita ambil contoh kejayaan mewujudkan undang-undang keganasan rumah tangga sebagai satu kesalahan jenayah di lebih 100 negara walaupun mengambil masa 25 tahun dan mungkin dalam tempoh 10 tahun lagi, 25 negara Islam boleh mencontohi Turki dan Maghribi yang mempunyai undang-undang mengiktiraf perkahwinan sebagai hubungan yang memberi hak sama rata kepada suami dan isteri dalam hal rumah tangga, perceraian dan penjagaan anak,” katanya.
Tangani keganasan, diskriminasi
PELAPOR Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Keganasan terhadap Wanita, Dr Yakin Erturk, berkata Malaysia adalah antara negara Islam yang perlu membawa pembaharuan dalam undang-undang keluarga Islamnya.
Beliau berkata, usaha perlu dilakukan bagi melihat dengan lebih mendalam dalam usaha menangani masalah keganasan dan diskriminasi terhadap wanita berikutan faktor agama dan budaya boleh digunakan sebagai alasan untuk salah laku itu.
Selain itu, beliau berkata, undang-undang juga adalah antara faktor yang menyebabkan wanita menjadi mangsa, tetapi mengambil jalan mendiamkan diri kerana enggan melalui pelbagai kerenah birokrasi..
“Banyak negara yang saya lawati, sebagai contoh Algeria, undang-undang keluarganya sudah mengalami perubahan baru-baru ini, tetapi masih ada peruntukan yang mendiskriminasi wanita dan sehingga kini masih diperjuangkan pertubuhan wanita di sana,” katanya selepas membuat kunjungan hormat ke atas Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai hal ehwal wanita dan pembangunan sosial, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dr Erturk berkata, masih ada keperluan bagi Malaysia untuk mengkaji semula dan menggugurkan kesangsiannya mengenai Konvensyen bagi menghapuskan semua bentuk diskriminasi terhadap wanita (CEDAW) bagi memastikan wanita di negara ini mendapat kesaksamaan dalam undang-undang.
Beliau berkata, Malaysia juga perlu mempertimbang ratifikasi protokol pilihan bagi konvensyen itu kerana ia membolehkan prosedur aduan dan penyiasatan berhubung pelanggaran hak.
“Sistem antarabangsa adalah sistem yang direka oleh negara anggota bagi menyediakan perlindungan hak-hak kemanusiaan. Sekarang ini apa yang kita perlu buat ialah bekerja mengikut peringkat negeri dan antarabangsa menggunakan mekanisme yang penting untuk memperbaiki keadaan pada peringkat kebangsaan dan usaha menggugurkan kesangsian itu adalah langkah yang besar,” katanya. - Bernama.
Posted by b.e.l.l.e at 8:04 PM
Lelaki elak tanggungjawab punca pelaksanaan faraid dipertikai
*Artikel diambil drpd Berita Harian Online
SAYA merujuk kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkaitan soal wasiat dalam faraid.
Saya berpendapat, isu ini timbul akibat kegagalan memahami dan melaksanakan tuntutan agama.
Islam menggariskan agar lelaki diberi bahagian lebih besar daripada perempuan kerana mereka dituntut memikul tanggungjawab lebih besar. Mereka harus berbelanja untuk anak, isteri dan keperluan lain dalam rumah tangga.
Malah, ibu bapa pun sebenarnya adalah tanggungjawab anak lelaki.
Memetik kenyataan Dr Mashitah, bahagian untuk lelaki dan perempuan akhirnya akan menjadi sama banyak selepas lelaki membelanjakan jumlah yang diterima itu untuk pihak yang berada dalam tanggungannya.
Tetapi, itu pun kalau lelaki itu betul-betul berbelanja untuk menunaikan tanggungjawabnya. Bagaimana kalau tidak?
Isu faraid ini timbul kerana lelaki yang menerima bahagian besar sepatutnya menggunakan bahagian itu untuk menunaikan tanggungjawab tetapi tidak berbuat demikian.
Oleh itu, seperti lazim berlaku dalam keluarga Melayu, wanita kerap mengambil alih tanggungjawab lelaki.
Apabila bapa tidak menyediakan perbelanjaan untuk keperluan keluarga, ibu atau isteri selalunya menggunakan wang pendapatan mereka untuk menanggung perbelanjaan yang sepatutnya tanggungjawab suami atau bapa.
Dalam keadaan lain pula, jika suami tidak bekerja, adakah mereka akan berbelanja untuk keluarga atau diri sendiri?
Apabila lelaki tidak menjalankan tanggungjawab dan masih pula diberi bahagian yang besar daripada harta pusaka, tentulah timbul rasa tidak puas hati daripada pihak yang selama ini memikul tanggungjawab orang lain.
Tetapi, pihak wanita pun turut bersalah. Mereka seharusnya mendesak lelaki memikul tanggungjawab yang seharusnya mereka jalankan, bukan mengambil alih tugas mereka kerana 'malas hendak cakap banyak'.
Berapa ramai wanita yang masih kekal bersama suami yang tidak bertanggungjawab?
Berapa ramai wanita mengambil tugas menjaga ibu bapa apabila abang dan adik lelaki tidak peduli sama sekali?
Jika melihat kepada pencapaian akademik lelaki sebagai kayu pengukur, jelas mereka gagal menjaga diri sendiri pun, apalagi untuk menjaga orang lain dan memikul tanggungjawab.
Dalam soal ini, pihak berkuasa perlu bersikap adil. Mahkamah syariah kerap dilihat menyebelahi lelaki apabila timbul sebarang kes, sehingga dilihat 'tidak bergigi' dalam aspek membela nasib wanita.
Apabila berlaku perceraian, suami sentiasa boleh membuat tuduhan nusyuz kepada isteri, padahal dalam banyak kes, wanita terpaksa keluar dari rumah untuk bekerja dan menjaga ahli keluarga yang lain - tanggungjawab lelaki yang gagal mereka penuhi sehingga terpaksa dibantu wanita.
Tetapi, apabila lelaki tidak hadir perbicaraan sehingga kes tertangguh bertahun-tahun, tiada tindakan boleh diambil, malah jika lelaki kalah perbicaraan sekalipun, mereka boleh menang di mahkamah syariah negeri lain.
Saya berpendapat, wanita harus belajar daripada semua ini. Jangan takut digelar perempuan materialistik.
AKMAL FAIRUZ,
Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa (IPBA)
Lembah Pantai.
Posted by b.e.l.l.e at 7:48 PM
18 November 2008
Pena Mufti (Dr Mohd Asri Zainul Abidin)
Saya amat mengkagumi pemikiran dan pandangan Mufti Perlis ini kerana saya rasa beliau tidak bias terhadap mana-mana pihak. Alangkah bagus nya jika setiap orang yang berilmu itu betul-betul mempunyai pemikiran seperti org yang benar-benar berilmu seperti beliau ini.
Ada beberapa perkara menarik berlaku dalam minggu ini. Kejadian itu semua bolehlah disenaraikan dalam tanda-tanda 'dunia sudah terbalik'. Antaranya demonstrasi bantahan terhadap fatwa pengharaman pengkid.
Saya kurang pasti adakah dalam dunia ini mana-mana agama yang mengizinkan penganutnya yang perempuan menyerupai lelaki atau sebaliknya sehingga 'fatwa' tersebut dianggap menjejaskan hak mana-mana agama? Apatah lagi jika hukum tersebut hanya ditujukan kepada umat Islam semata. Atau mungkin mereka merasakan bahawa hukum itu menjejaskan hak asasi manusia.
Saya pun hairan apakah termasuk dalam hak manusia untuk menukar jantina? Ya, pada kaca mata aliran liberal tanpa sempadan keagamaan atau keinsanan, mungkin itu satu hak. Atau ia dianggap hak asasi bagi manusia yang menggunakan nama Tuhan menghalalkan apa yang bercanggah dengan ciptaan Tuhan. Tetapi pada nilaian fitrah insani yang sejahtera perkara itu adalah satu pencemaran hak. Sama seperti jika ada kelompok yang menuntut hak untuk bertelanjang di jalanan atas alasan kebebasan. Hak yang seperti itu hanya mencemarkan hak orang lain yang akan terganggu dengan tindakan mereka dan merampas keselesaan ramai. Lebih daripada itu, ia terkeluar dari nilai insani yang normal. Maka pemerintah di mana-mana negara pun jika membenarkan satu hak dalam masalah seperti ini, akan mencemarkan hak pihak yang lain. Sudah pasti neraca dalam masalah ini adalah nilaian agama dan fitrah insani yang lurus. Jika dibenarkan wanita menjadi lelaki atau lelaki menjadi wanita, maka hak kaum lelaki atau wanita yang normal akan tercemar. Akan berlaku kekeliruan gender yang meluas dalam masyarakat. Lalu lelaki atau wanita normal sukar mencari pasangan yang sebenar. Akan berlaku kecurangan yang luar biasa apabila ada kelompok manusia yang mencari pasangan sesama jantina. Jika hal itu meluas, maka perkembangan masyarakat manusia juga akan tercemar disebabkan tidak mungkin 'hubungan seks' sesama jenis boleh melahirkan zuriat. Maka atas nama hak, apakah nanti kita mesti mengwujudkan tandas 'pengkid' atau 'tandas saudarai'. Atau apakah pengkid boleh masuk ke tandas lelaki, atau 'saudarai' boleh ke tandas perempuan? Dunia akan terbalik nanti dan banyak kekalutan akan berlaku. Maka, tidak hairanlah jika Islam mengharamkan hal ini seperti hadis Ibn 'Abbas yang saya sebutkan pada minggu lepas Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki (Riwayat al-Bukhari).
Cumanya, seperti yang saya nyatakan bahawa isu lelaki menyerupai perempuan tidak memerlukan sidang fatwa khas untuk mengeluarkan hukum mengenainya. Hukum yang seperti ini diketahui oleh sesiapa sahaja yang mempunyai walaupun sedikit asas pengetahuan agama Islam. Seperti yang saya nyatakan, yang agak peliknya, dalam fatwa yang dikeluarkan itu ditegaskan tentang haramnya wanita menyerupai lelaki, sedangkan fenomena yang bertebaran kelihatan di sana-sini adalah lelaki yang menyerupai perempuan. Sama ada pada gaya bahasa, gaya berjalan, atau lebih-lebih lagi 'nafsu bercinta'. Wanita tiruan ini kelihatan dan kedengaran bukan sahaja di jalanan, tetapi juga di media massa; radio, televisyen dan akhbar. Mereka kelihatan mendapat lesen yang besar tanpa dipertikaikan oleh sesiapa. Tiba-tiba muncul fatwa yang menegaskan tentang 'haram pengkid' dan tidak pula menonjolkan tentang haram lelaki cuba menjadi wanita. Perkara-perkara yang seperti inilah yang menjadikan manusia bersalah sangka lalu menganggap sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh 'insan-insan berjawatan' itu mengambil kira soal kedudukan dan 'keselesaan kerusi' masing-masing. Ini semacam fatwa yang mengharamkan kanak-kanak bermain mercun kerana dikatakan membazir, tetapi dalam masa yang sama tidak pula mengharamkan mercun yang ratusan ribu ringgit yang dimainkan dalam berbagai-bagai keramaian atau tidak pula mengeluarkan fatwa mengharamkan pembaziran yang berlaku dalam pengurusan wang rakyat. Ini pun menunjukkan dunia kita memang nak terbalik..
Dalam celahan cerita wanita yang ingin menjadi lelaki, timbul pula kes kezaliman terhadap wanita di Kedah. Bagaimana seorang wanita mendakwa dirinya yang dizalimi oleh kecuaian Pejabat Agama. Dalam tempoh lapan tahun pihak Jabatan Agama tidak memberikan kepadanya surat cerai, tiba-tiba apabila beliau berkahwin dengan lelaki lain datang perintah mahkamah yang menyatakan perkahwinannya dengan suami yang kedua itu tidak sah dan dianggap 'bersuami dua'. Ketika beliau berulang-alik ke Pejabat Agama meminta surat pengesahan cerai, mereka gagal memberikan kepadanya. Malangnya, apabila beliau berkahwin dengan suami yang kedua dan mempunyai dua anak, datang pula surat mahkamah syariah yang membatalkan perkahwinan dan menyuruhnya kembali kepada suami yang pertama. Hari ini beliau hidup penuh tekanan dan penderitaan jiwa. Jika benar dakwaan beliau, alangkah kejamnya pengurusan yang diberi nama agama ini. Dahulu saya pernah mencadangkan agar kita mengurus perkara-perkara halal dengan baik dan mudah serta membendung perkara- perkara haram agak menjadi rumit susah untuk mendapatkannya. Malangnya, hal ini tidak berlaku. Sehingga ada negeri yang memenjarakan sesiapa yang berkahwin di luar negerinya. Begitulah urusan perkahwinan disulitkan dengan berbagai-bagai 'karenah pengurusan' yang pelbagai. Sebahagiannya dijadikan bisnes dengan yuran yang menguntungkan. Lihat sahaja apakah sukatan dalam sesetengah kursus perkahwinan. Sementara kes talak tertangguh begitu banyak yang memakan masa bertahun-tahun. Ia menghalang wanita untuk berkahwin semula sedang tuntutan jiwa dan nafsu wujud apatah lagi bagi wanita muda. Mahkamah dengan mudah menangguhkan kes hanya kerana suami tidak datang walaupun sudah berkali-kali. Wanita-wanita yang dianiayai lelaki sebegini didera perasaan dan nafsu kelaminnya. Ini adalah kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan terhadap wanita.
Kuasa
Malang sekali, kes-kes yang seperti ini tidak diselesaikan dengan kuasa hakim. Hakim sepatutnya boleh diberi kuasa fasakh yang lebih jelas dan tegas kepada suami zalim dan tidak bertanggungjawab. Keengganan hadir ke mahkamah tanpa alasan yang diterima boleh dianggap sebagai sebab untuk perkahwinan dibatalkan. Dukacita, pihak pengurusan agama ini jika ditegur ada yang melenting. Padahal bukan sedikit kaum wanita yang menunggu bertahun-tahun untuk kesnya diselesaikan. Ini semua boleh menjadi faktor terdorongnya gejala maksiat akibat runtunan nafsu yang tidak dapat diluruskan secara yang kononnya dianggap 'berdasarkan undang-undang syarak'. Di manakah keindahan syariat hendak dilihat jika dikendalikan seperti ini? Benarlah kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) yang selalu sayang ulangi: "Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia- sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya". (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail). Sebab itu saya pernah mencadangkan agar pihak berkuasa agama menumpukan kepada penyelesaian kes-kes yang seperti ini daripada menumpukan 'operasi mengintip' maksiat di dalam bilik-bilik hotel yang belum tentu ada. Selesaikanlah kes yang jelas wujud dari disibukkan diri dengan perkara yang tidak pasti. Namun dunia agaknya sudah terbalik..
Bercakap soal keadilan, ada yang bersungut dengan keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis baru-baru ini yang memutuskan mengenai nasab anak yang tempoh perkahwinan ibu bapanya kurang daripada enam bulan seperti berikut; "Anak yang lahir kurang daripada enam bulan ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami". Keputusan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipengerusikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibn Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail pada 4 November 2008.
Maksud fatwa ini adalah seorang wanita yang berkahwin dan melahirkan anak sekalipun tempoh perkahwinannya kurang daripada tempoh enam bulan tetap boleh menasabkan (membinkan) anak yang dilahirkan kepada suaminya dengan syarat si suami tidak membantahnya. Sebabnya, di Malaysia, pihak pendaftaran enggan mendaftarkan anak orang Islam secara di'bin'kan kepada bapanya jika tempoh perkahwinan mereka kurang daripada enam bulan. Dalam erti kata lain anak tersebut dianggap 'anak luar nikah'.
Hasil daripada peraturan ini maka ramai anak yang tidak dibinkan kepada bapa mereka. Lebih menyedihkan apabila anak tersebut mendapati hanya dia yang tidak berbinkan bapanya sedangkan adik-beradiknya yang lain berbinkan bapanya. Ini merupakan satu tekanan kepadanya yang tidak berdosa dalam perkara tersebut sepanjang hayatnya. Pihak ibu bapa pula, amat sukar untuk menerangkan hakikat sebenar kepada anak berkenaan kerana itu akan membuka 'aib yang telah cuba ditutup. Di samping boleh menghilangkan rasa hormat anak kepada ibu bapa yang telah insaf dan sedang membina dan mendidik keluarga. Atas keadaan tersebut maka, isu ini saya bincangkan dalam Fatwa Negeri Perlis. Kita sedar, adanya perbezaan pendapat di kalangan sarjana fekah dalam hal ini. Namun, setelah meneliti dalil-dalil syarak dan alasan-alasan para sarjana yang berbagai-bagai, maka keputusan tersebut dibuat. Antara dalil yang dijadikan asas perbincangan dalam kes ini adalah sabda Nabi saw: "Anak itu (nasabnya) kepada suami menyetubuhinya" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini disebutkan oleh Nabi saw apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman baginda antara Sa'd bin Abi Waqqas dengan 'Abd bin Zam'ah. Sa'd membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya 'Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam'ah yang masih budak ketika itu sebenarnya adalah anaknya. Namun 'Abd bin Zam'ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam'ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa'd mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya 'Utbah. Apabila kes ingin diangkat kepada Nabi SAW, baginda mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai 'Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa'd. Namun baginda memutuskan anak itu ialah anak Zam'ah dengan bersabda: "Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut)". Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah saw memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina. Juga hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi saw yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas. Jika baginda memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki maka sudah pasti pelbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga. Selagi mana si suami sendiri menerima anak itu adalah anaknya, maka tiada alasan untuk mereka yang tidak berkahwin secara sah dengan si ibu membuat tuntutan.
Bahkan di kalangan sarjana Islam ada yang berpegang bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa zinanya sekalipun jika wanita berkenaan tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina dengannya. Namun syaratnya mestilah wanita tersebut juga tidak berkahwin dengan lelaki lain seperti dalam kes hadis di atas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dengan ijmak (sepakat tanpa kecuali seluruh para mujtahid)…beberapa tokoh fekah salaf; 'Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahuyah dan selain mereka berpendapat harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya jika wanita berkenaan tidak pernah berkahwin (selepas itu). Pendapat ini disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim". (lihat: islamonline.net). Namun, keputusan Fatwa Perlis hanya membincangkan tentang keharusan menasabkan anak kepada suami sekalipun perkahwinan itu kurang daripada enam bulan. Dengan itu maka mereka yang terlibat dalam perzinaan lalu bertaubat dan berkahwin, anak yang dikandung bolehlah dinasabkan kepada si suami sekalipun baru berkahwin dengan syarat tiada bantahan daripada suami.
Antara kebaikan fatwa ini; ia menutup keaiban lepas yang berlaku kepada pasangan yang sudah berkahwin dan bertaubat. Juga menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya disebabkan faktor kekurangan tempoh perkahwinan serta membantu ibu bapa yang terlanjur meneruskan kehidupan dan pembinaan keluarga.
Ada yang kata; fatwa ini menggalakkan orang berzina. Saya kata tidak sama sekali; ia memberi orang bertaubat dan menyelamatkan maruah anak yang tidak berdosa. Yang menggalakkan maksiat adalah adegan-adegan panas dalam media, juga pengurusan yang menyusahkan kahwin dan talak. Fikiran anda jangan terbalik!
Posted by b.e.l.l.e at 9:51 AM
14 November 2008
Isu pengkid
* Berita diambil daripada Kosmo online
Cuma, yang menjadi persoalan, saya rasa di Malaysia berapa kerat sangat lah golongan lesbian ni. Boleh dikira dengan jari je sebenar nya. Ialah jika nak dibandingkan dengan golongan pondan, maknyah dan gay yang jumlah nya terlalu ramai di Malaysia ni. Ada orang yang mengatakan pengharaman pondan dan gay sudah lama dibuat dahulu, tetapi, jika sudah dibuat, mengapa pula mufti Perlis mengeluarkan kenyataan seperti di atas. Dari kenyataan beliau, sudah jelas isu pondan tidak diambil kira. Tup-tup hanya isu pengkid yang dirisaukan. Nampak sangat hanya kesalahan wanita sahaja yang dicari.
* msg utk rakan:
P/s: Cher mes amis gay, j'suis desolee a vous tous de cet article, je vous aime tous, mais j'suis pas contente de resultat qu'ils ont fait. Je pense c'est injuste pour nous les femmes. C'est tout.
Posted by b.e.l.l.e at 1:59 PM
13 November 2008
Perjuangan
Saya sering berasakan, bukan mudah untuk menjadi orang yang memperjuang kan sesuatu perkara. Lebih-lebih lagi jika apa yang diperjuangkan tidak dapat difahami dengan jelas oleh kebanyakan orang ramai tentang objektif sebenar perjuangan yang ingin diperjuang kan. Perjuangan itu akan menjadi lebih sukar sekiranya apa yang diperjuangkan adalah untuk membela golongan yang minoriti kuasanya.
Baru-baru ini, kita mendapat berita tentang hukuman bunuh yang dijalankan ke atas ketiga-tiga pengebom Bali yang dilakukan suatu ketika dulu. Ramai orang memberontak di atas hukuman bunuh yang diputuskan oleh kerajaan Indonesia terhadap ketiga-tiga pengebom itu. Mereka mungkin digelar pengganas oleh kita semua. Memang mereka pengganas, dan tindakan mereka membunuh orang awam yang tidak bersalah adalah salah sama sekali. Tetapi, mungkin mereka bertindak begini kerana ingin memperjuangkan nasib orang Islam lain di negara Islam seperti Iraq dan Pakistan yang dibunuh sewenang-wenang nya oleh pihak yang tak bertanggungjawab. Tetapi, oleh kerana pihak yang tak bertanggungjawab ini adalah kuasa besar, maka, mereka terlepas dan balasan tidak dapat dilakukan ke atas mereka. Harus diingat, saya bukan penyokong mereka ini, ok :-) Sekadar memberi contoh.
Begitu juga perjuangan kaum minoriti di Malaysia yang sering kita dengar hendak memperjuangkan nasib bangsa mereka sehingga mencetuskan kekacauan awam. Mungkin jika saya bukan Melayu , saya juga ada perkara yang ingin saya perjuangkan untuk bangsa saya.
Terdapat juga perjuangan oleh orang-orang OKU untuk menerima layanan sama seperti orang biasa sama ada dari segi mendapat pekerjaan, pendidikan dan sebagai nya.
Dan juga perjuangan oleh wanita untuk membela hak-hak untuk semua wanita. Seperti saya, walaupun apa yang saya boleh lakukan hanya lah memberi pendapat melalui blog yang tidak seberapa ini, saya sebenar nya sedang memperjuangkan hak-hak wanita. Sekecil-kecil usaha, lebih baik daripada tiada langsung dan hanya memejamkan mata seperti tidak nampak apa-apa, betul tak?
Bukan mudah untuk memperjuangkan sesuatu, walaupun benda itu tidak kena mengena dengan diri sendiri. Adakala nya saya berfikir, mengapa hendak mengambil tahu hal orang lain sehingga diri sendiri yang sakit hati, menangis dan sebagai nya? Namun begitu, dengan memberi pendapat tentang apa yang difikirkan, sebenar nya itu sudah cukup berbaloi daripada melarikan diri begitu sahaja.
Apa pun jenis perjuangan, akan menjadi mudah untuk terlaksana jika semua pihak turut mahu memikir sama apa sebenar nya objektif di sebalik nya. Apabila kita melihat sesuatu perjuangan yang dilakukan, jangan lah terus menghukum, tetapi cuba lah letakkan diri kita sebagai diri pejuang tersebut. Barulah boleh merasakan aura perasaan tentang apa yang diperjuangkan.
Posted by b.e.l.l.e at 9:20 AM
